Hari-hari terbaik di dunia
Siang dan malam silih berganti, tak pernah berhenti, menggulung usia dunia dan seluruh isinya.
Siang dan malam punya peranan tersendiri yang ditentukan oleh Pencipta sejak azali.
“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki?”
(An-Naba’: 9-11)
Justeru, mukmin menyedari tiada waktu yang sia-sia, tiada waktu untuk berleka.
“Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesara-Nya) atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmat-Nya itu).”
(Al-Furqan: 62)
Dan dari dahulu hingga kini, siang dan malam itu kelihatannya sama, khususnya bagi mereka yang tidak berfikir dan tidak mahu mengambil iktibar, namun Allah Taala memilih daripada kalangan malam dan siang yang diciptakan itu beberapa hari dan beberapa malam tertentu dan menjadikannya lebih afdal, lebih mulia dan lebih baik daripada malam-malam serta hari-hari selainnya.
“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu daripada makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.”
(Al-Qasas: 68)
Sesungguhnya Allah telah memilih beberapa hari dan beberapa malam tertentu dalam setahun yang diberikan kelebihan dan keistimewaan tertentu. Hari yang dipilih untuk hamba-hamba-Nya menambah bekalan dan mengaut keuntungan yang maksimum.
Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda (maksudnya):
“Buatlah kebaikan sepanjang masa kamu dan nantikanlah hembusan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mempunyai beberapa hembusan rahmat yang akan mengenai sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-hamba-Nya.”
(Riwayat at-Tabrani)
Antara hari-hari yang terpilih itu adalah 10 hari pertama bulan Zulhijjah, hari-hari yang penuh barakah, melimpah dengan rahmah serta peluang untuk beramal soleh yang tiada batas.
Kelebihan 10 pertama Zulhijjah:
1. Allah bersumpah demi hari-hari tersebut. Dan Allah tidak bersumpah dengan sesuatu di dalam kitab-Nya kecuali kerana keagungan sesuatu itu.
Firman-Nya bermaksud: “Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Al-Fajr:1-2)
Kata Ibn Kathir, yang dimaksudkan dengan sepuluh dalam ayat itu ialah sepuluh daripada Zulhijjah. Tafsiran ini selari dengan kata-kata Ibn Abbas radiallahuanhu, Ibn az-Zubair, Mujahid dan lain-lain.
2. Firman Allah bermaksud: “...supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu...” (Al-Hajj: 28).
Hari-hari tertentu (ayyam ma’lumat) yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah 10 hari daripada Zulhijjah. Demikian pendapat Ibn Abbas radiallahuanhu.
3. Terkandung dalamnya amalan yang paling afdal iaitu haji. Nabi Sallahu Alaihi Wasallam ditanya tentang amalan yang paling afdal. Baginda menjawab: “Iman dengan Allah, jihad di jalan Allah dan haji yang mabrur.” (Muttafaq ‘alaih).
4. Terkandung di dalamnya hari Arafah. Arafah adalah hari yang mana Allah berbangga di hadapan malaikat dengan orang-orang yang berwuquf pada hari itu. Dalam sebuah hadis, Nabi Sallahu Alaihi Wasallam bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia lalu Dia berbangga dengan mereka di hadapan malaikat. Dia berfirman: “Mereka itu hamba-hamba-Ku, mereka datang dalam keadaan kusut dan berdebu dari ceruk rantau yang jauh, mereka mengharap rahmat-Ku dan takut kepada azab-Ku.” (Riwayat at-Tabrani).
5. Terkandung di dalamnya hari haji akbar yang merupakan sebaik-baik hari di dunia secara keseluruhannya. Ia adalah hari paling besar kemuliaannya di sisi Allah. Ibn al-Qayyim berkata, sebaik-baik hari di sisi Allah ialah Hari Nahar kemudian Hari al-Qarr (hari orang berada di Mina).
6. Terkandung di dalamnya hari melontar di jamrah, hari dilakukan ibadah qurban, hari makan dan minum.
Kata Ibn Hajar, yang menjadi sebab kelebihan 10 hari daripada Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul berbagai-bagai ibadah yang pokok iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Hal ini tidak berlaku pada hari selainnya.
Lantaran kelebihannya itu, Allah Taala sangat suka hamba-Nya mengisi hari-hari tersebut dengan amal yang soleh. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
“Tidak ada hari di mana amal soleh yang dilakukan padanya lebih disukai Allah selain daripada hari-hari ini (10 daripada Zulhijjah).”
(Al-Bukhari)
“Tidak ada amal yang lebih mulia di sisi Allah dan lebih besar ganjarannya daripada kebaikan yang dilakukan pada hari 10 al-Adha.”
(Al-Baihaqi)
“Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah dan lebih Allah sukai amalan yang dilakukan padanya selain 10 hari Zulhijjah. Maka perbanyaklah padanya tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.”
(At-Tabrani)
Hadis di atas menganjurkan sebahagian amalan yang patut diperbanyak pada hari-hari yang mulia itu. Selain daripada itu, banyak lagi yang boleh dilakukan seperti berpuasa, khususnya pada Hari Arafah. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda mengenai kelebihan berpuasa pada Hari Arafah yang bermaksud:
“Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya.”
(Muslim)
Berqurban juga merupakan ibadah yang sangat besar ganjarannya. Ia merupakan sunnah para nabialaihimussalam. Menurut jumhur ulama, hukumnya adalah sunat muakkad. Makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu.
Sunat membanyakkan takbir. Takbir terbahagi kepada mursal dan muqayyad. Takbir muqayyaddilakukan setiap kali selepas solat bermula daripada subuh hari Arafah dan berakhir pada asar haritasyriq terakhir (13 Zulhijjah).
Adapun takbir mursal ialah takbir yang tidak dikaitkan dengan masa dan tempat. Sunat dilakukan di mana-mana sahaja; di rumah, di jalan, di pasar dan sebagainya bermula pada waktu Maghrib malam ke-10 Zulhijjah dan berakhir setelah imam mengangkat takbiratulihram untuk solat sunat hari raya.
Selain itu, rebutlah peluang beramal apa saja yang termasuk dalam kategori amal soleh seperti berdakwah, menghubungkan silatul rahmi, menziarahi orang sakit, membantu orang susah dan lain-lain.
Semoga Allah memudahkan kita semua beramal pada hari-hari terbaik di dunia pada tahun ini.